Isnin, 26 November 2012

Maklumat Prasekolah




sekadar perkongsian....                                     

  PENDIDIKAN PRASEKOLAH
                                                  
Prasekolah (bahasa Inggeris: pre-school) merupakan pilihan pendidikan bagi kanak-kanak sebelum memasuki sekolah.

Prasekolah merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan prasekolah bagi membolehkan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun memasuki persekolahan lebih awal, terutamanya kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah.


Akta Pendidikan 1996
Pendidikan Prasekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Jun 2001 mengarahkan dilaksanakan peluasan program Prasekolah oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Matlamat pendidikan prasekolah
Pendidikan prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak.

Fokus
Pendidikan Prasekolah berfokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak-kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membantu mereka meneruskan pembelajaran ke sekolah rendah kelak.


Objektif
Menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah

Lokasi
Bangunan prasekolah anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia terletak di kawasan sekolah rendah.

Pengurusan
Setiap kelas prasekolah diurus oleh seorang guru dan seorang pembantu yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Gred jawatan bagi guru prasekolah ialah DG29 atau DG41 manakala gred jawatan bagi pembantu prasekolah ialah N17, yakni setaraf dengan jawatan Pembantu Tadbir.

Murid
Setiap kelas mestilah tidak melebihi 25 orang kanak-kanak berumur 5 dan/atau 6 tahun. Kelayakan untuk memasuki prasekolah dikira berdasarkan pendapatan keluarga iaitu di bawah RM500. Walau bagaimanapun had itu boleh dinaikkan sekiranya masih terdapat kekosongan.

Kurikulum

Kurikulum Pendidikan prasekolah dirangka dengan teliti bagi memenuhi keperluan dan tahap keupayaan kanak-kanak berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Mulai tahun 2002, semua pusat pembelajaran kanak-kanak samada diuruskan oleh Kementerian Pelajaran mahupun dikelolakan oleh pihak swasta mestilah mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan 2008 telah digubal kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang telah berkuatkuasa mulai 2010 dengan berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.






















4 ulasan: